Khamis, 18 Februari 2010

Pasir Pekan Atau Pekan Yang Mana Betul?

Nama Pekan dicetuskan oleh Wan Ali Nakhoda manakala nama Pasir Pekan dicetuskan oleh Tok Gawo Ali (Ali bin Mohamad) bapa kepada YB Ibrahim bin Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas. Tidak diketahui bagaimana tercetusnya nama Pekan, namun Wan Ali Nakhoda mengabadikan nama Pekan dalam surat menyuratnya dengan DYMM Sultan Kelantan dengan menulis alamat surat menyurat beliau sebagai Kampong Surau, Pekan, Kelantan dan pihak Istana Kelantan mengiktiraf alamat yang digunakan oleh Wan Ali Nakhoda. Wan Ali Nakhoda juga mengabadikan namanya sebagai Wan Ali Pekan di dalam buku Hikayat Sri Kelantan dan kekallan nama Pekan digunakan oleh keluarga Wan Nuh sehinggalah pada tahun 1950an apabila wujudnya kerja-kerja memberi hak milik tanah oleh pehak Pejabat Tanah dan Jajahan di bawah Ordinan Penyelesaian Tanah Kelantan 1955. Bolehlah dikatakan wujudnya nama Pekan kerana Wan Ali terpaksa memberi nama kepada tempat dia tinggal kerana tempat yang dia tinggal belum bernama lagi.Manakala nama Pasir Pekan dikatakan berasal dari cerita orang tua-tua yang mengatakan pada masa dahulu terdapat pekan (pasar tempat orang berjual beli) di atas tanah berpasir yang luas dari itu timbullah nama Pasir Pekan. Sekali pandang cerita itu adalah logik, tetapi bila diteliti siapakah peneroka asal mukim Pasir Pekan akan timbul satu keganjilan. Keluarga Wan Nuh adalah individu yang bertanggungjawab memajukan Mukim Pekan, keluarga Wan Nuh telah menubuhkan sebuah sekolah rendah yang dikenali pada hari ini sebagai SK Pasir Pekan, mengimarahkan sebuah surau yang dikenali pada hari ini sebagai Masjid Pasir Pekan dan menubuhkan sebuah sekolah agama yang dikenali pada hari ini sebagai SMK(A) Falahiah. Keluarga Wan Nuh tinggal di sebuah kampong yang dinamakan Kampong Surau bersempena sebuah surau yang telah wujud sebelum kedatangan mereka ke kampong itu. Di Kampong Surau juga terdapat tiga tapak perkuburan lama yang dimiliki oleh orang yang menetap sebelum mereka. Terdapat juga sebuah tapak perkuburan yang dikenali sebagai Kubur Pohon Tanjung kerana di situ terdapat beberapa buah kubur yang kelihatan di miliki oleh karabat Di Raja dan ianya dipagari oleh empat pokok pohon tanjung. Berbeza dengan Tok Gawo Ali, beliau bukanlah peneroka awal Mukim Pasir Pekan, beliau adalah seorang penjawat awam yang datang menetap di Mukim Pasir Pekan. Tok Gawo Ali dan keluarganya tinggal di sebuah kampong yang dikenali sebagai Pasir Pekan Hulu. Pada hari ini Kampong Pasir Pekan Hulu letaknya di sebelah kanan kepala Jambatan Sultan Yahya jika menuju ke Kota Bharu dari Wakaf Bharu. Tok Gawo Ali pernah dikenakan perintah buang daerah bersama beberapa orang pengikutnya di Segamat, Johor kerana terlibat dengan kegiatan perjudian haram dan gangterisme. Sesungguhnya masalah nama Mukim Pasir Pekan atau Mukim Pekan Yang Mana Betul? bagi sebahagian orang mungkin dianggap sebagai isu remeh temeh yang tak perlu diperbesarkan adalah silap kerana sehingga kehari ini telah berlaku kekalutan siapakah pengarang sebenar Hikayat Sri Kelantan semata-mata kerana para pengkaji tertanya-tanya siapakah Wan Ali Pekan sebenarnya? Lebih teruk lagi seolah-olah Kampong Pasir Pekan (Kampong Pasir) tempat bermulanya penempatan awal di Mukim Pasir Pekan wal hal sebenarnya peranan itu dimainkan oleh Kampong Surau dan sehingga kehari ini juga segala jasa dan pengorbanan Wan Ali Nakhoda dilupakan dan diperlekehkan orang! Dari itu timbul satu persoalan adakah nama Mukim Pekan sengaja dipadamkan dan diganti oleh Mukim Pasir Pekan untuk memencilkan segala rekod tentang seorang yang bernama Wan Ali supaya tidak dikenali orang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan